Wednesday, October 31, 2012

Selamat menjawab dengan jaya.

Assalamualaikum wbt.
Salam Satu Malaysia.
blog bmseta mengucapkan selamat menjawab dengan jaya kepada semua calon SPM yang akan menjawab Kertas Bahasa Melayu SPM 5 November ini.
Masa semakin singkat tetapi masih sempat.
Harapan kami semoga setiap anak murid dapat menggunakan teknik menjawab yang dipelajari di sekolah.

Bagi murid-murid yang masih lemah, apabila menjawab soalan karangan Bahagian B lihat dan baca dengan teliti soalan nombor 1 dan 2 kerana soalannya agak mudah untuk berada di peringkat matang.
Untuk kertas 2 pula, diharap murid-murid dapat menguasai teknik mengenal pasti isi tersurat dan tersirat.

Jangan lupa, sila ulang kaji cerpen Israk, Pahlawan Buntung, Idola, Ibu dan Ceper,Pemain Catur manakala teks drama pula Tiang Cengal Dinding Sayung, Dato' Onn, Forum Remaja dan 1400. Tajuk itu bukanlah ramalan tetapi tajuk tersebut masih belum keluar dalam SPM (teks Komsas baharu). Kalau keluar alhamdulillah, kalau tak keluar janganlah putus harap. Tenangkan diri dan gunakan teknik yang ada. Dengan izin Allah, kita akan menemukan jawabannya. Komsas tidaklah sesukar mana. Jika anda masih 'honey moon' sepanjang tahun dan waktu inilah baru hendak membuka buku, sila hafal dua aspek Komsas bagi setiap teks tersebut. Ingat, prosa klasik tidak ada soalan Komsas!

Jika anda kabur tentang soalan pemahaman novel. Tulis sahaja sinopsis. Markah bahasa akan diberikan dan manalah tahu di dalam sinopsis anda ada isi yang boleh mendatangkan markah. Kalau masih tidak tahu teks apa yang perlu dibaca sepanjang T4 dan T5, bertindaklah sekarang kerana...




MASA SUDAH SINGKAT TETAPI MASIH SEMPAT

Saturday, June 23, 2012

Kelas Bimbingan Bahasa Melayu SPM/PMR

Kelas Bimbingan Bahasa Melayu SPM Cikgu Darwis akan bermula esok (Ahad) jam 5.30 petang di Pusat Tuisyen Berkat Jaya, No 49,Susur Dewata 1, Larkin Perdana,Johor Bahru (di bawah pusat tuisyen ada kedai dobi,kedai alat tulis dan KFC).
Bersedia membantu pelajar-pelajar lemah dalam Bahasa Melayu SPM dengan modul-modul pengajaran dan pemelajaran yang sesuai.
Hubungi  0193640153.

Monday, June 18, 2012

Teknik Menulis Pendahuluan Rumusan SPM.

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera.
Nikmatilah sajian pada hari ini. Sekian, terima kasih.


-    Kenal pasti kata kunci dalam soalan.
-          Bulatkan kata kunci tersebut.
-          Tukarkan makna kata kunci itu.
        

 Contoh kata kunci : 
Punca : sebab, faktor.
Kesan : akibat,impak.
Kebaikan : faedah, kepentingan, kelebihan,manfaat.
Usaha : langkah, cara, modus operandi.
Peranan : fungsi.
Tujuan : Matlamat, objektif
Masalah : halangan, kekangan, cabaran.
Ciri : sifat, bentuk.


-          Contoh soalan :
       Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian batu satu rumusan tentang kepentingan sains sukan dan langkah-langkah untuk memartabatkan mutu sukan negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     
      Kepentingan = kebaikan, faedah, manfaat
       
           Contoh pendahuluan :
            Petikan membincangkan kebaikan sains sukan di Malaysia.

       Contoh lain:
                Petikan membincangkan kebaikan ketawa untuk keharmonian masyarakat.                      

             Petikan membincangkan faedah-faedah amalan menabung kepada masyarakat demi masa hadapan yang cerah.

-          Perlu letakkan sedikit penerangan (rujuk contoh) untuk layak mendapat 2 markah dalam pendahuluan.

Sunday, June 17, 2012

Kelemahan Ketika Menulis Karangan.

  • Tidak memahami/menghayati kehendak soalan.
  • Huraian biasa-biasa.
  • Ayat biasa/selamat/mudah
  • Tidak dapat mengembangkan isi.
  • Pemerengganan lemah (ada yang panjang,ada yang pendek dan huraian isi tidak tersusun)

CONTOH KARANGAN LULUS: 



 
Faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong ke Malaysia.
                Kini, ramai pelancong dari luar negara suka melawat ke Malaysia . Sebagai contohnya, mereka melawat Melaka, Pulau Langkawi, Pantai Desaru dan Danga Bay. Hal ini kerana Malaysia mempunyai banyak faktor yang menarik kedatangan pelancong.
              Pada pendapat saya, faktor pertama Malaysia menjadi tempat pelancongan ialah Malaysia mempunyai banyak tempat yang menarik. Pelancong tertarik dengan keindahan yang terdapat di Malaysia. Mereka boleh berkelah dan mandi manda di tepi pantai atau menikmati udara segar di sini. Sebagai contohnya, Pantai Desaru di Johor sangat indah dan ramai pelancong datang di sana. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang menarik di Malaysia adalah faktor utama kedatangan pelancong.
               Di samping itu, Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah untuk dilawati. Negara kita mempunyai banyak warisan sejarah bertaraf dunia. Pelancong boleh mengenali sejarah negara kita. Pelancong boleh mengunjungi pameran sejarah dan muzium di Malaysia. Sebagai contohnya, pelancong boleh melawat negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang bersejarah adalah faktor kedua yang menarik kedatangan pelancong.
                 Selain itu, Malaysia banyak tempat membeli belah. Harga barang yang dijual di Malaysia lebih murah. Banyak barangan berjenama terkenal dijual di Malaysia dengan harga yang berpatutan. Pelancong boleh membeli belah di Malaysia dengan gembira. Pihak kerajaan juga telah melancarkan Karnival Jualan Mega untuk menarik pelancong membeli belah di Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat membeli belah yang banyak dapat menarik kedatangan pelancong.


                    Kesimpulannya, banyak faktor yang boleh menarik kedatangan pelancong di  Malaysia. Namun, pelancong tidak akan datang jika kita tidak menjaga  negara kita dengan baik. Marilah kita berusaha supaya negara kita menjadi terkenal di seluruh dunia.

 


Contoh karangan berformat : Laporan


Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahetra. 
Buah tangan untuk pembaca hari ini ialah contoh karangan laporan. Semoga dapat sesuatu. Komen dan cadangan sangat seronok untuk dibaca.


Laporan Lawatan Kelas 5 Disiplin ke Pameran Kerjaya
di Persada Johor, Johor Bahru.

          Pada 30 Mac 2012 yang lalu, kelas 5 Disiplin telah mendapat peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan dalam hidup. Pada tarikh bahagia tersebut, kelas 5 Disiplin telah diberi peluang oleh pihak sekolah untuk menghadiri Pameran Kerjaya di Persada Johor, Johor Bahru. Peluang yang diberikan ini telah membuatkan setiap pelajar tidak sabar-sabar lagi untuk menimba ilmu pengetahuan daripada lawatan sambil belajar ini. Seramai 40 orang telah terlibat dan dua orang guru pengiring telah mengiringi kami iaitu Puan Najidah dan Cik Nalini Madavan.
          Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang peluang-peluang kerjaya yang sesuai selepas tamat alam persekolahan. Pameran ini telah mendapat tajaan daripada beberapa syarikat korporat seperti Syarikat Buku Ali Sdn. Bhd. dan Syarikat Air Johor. Program ini juga bertujuan untuk memberi maklumat yang terperinci tentang bidang pekerjaan yang terdapat di Malaysia di samping memberikan motivasi kepada para pelajar supaya dapat bersaing dalam arus pembangunan negara. Melalui perkara ini, kami sentiasa berharap supaya setiap peserta akan mendapat manfaatnya.
          Perjalanan kami dengan menaiki bas yang ditaja oleh Syarikat Bas Mayang Sari telah melalui jalan raya yang sibuk. Namun, kami telah tiba di lokasi tepat pada waktunya iaitu pada pukul 8.30 pagi. Disiplin pelajar yang mantarp telah memudahkan guru pengiring untuk membawa kami. Setiap pelajar beratur dengan tertib dan sentiasa peka akan arahan guru pengiring. Guru pengiring telah membawa kami ke meja pendaftaran lalu disambut dengan tangan terbuka oleh petugas pameran tersebut. Hati gembira tidak terkata apabila kami dihadiahkan buku catatan dan sebatang pen oleh pihak penganjur supaya memudahkan kami mencatat maklumat yang berguna untuk dikongsi bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Setelah mendaftar, Pegawai Perhubungan Awam Persada Johor iaitu Encik Roslan bin Kaliwon telah menyampaikan taklimat ringkas tentang perjalanan kami dalam program ini secara jelas dan terperinci. Sebaik sahaja taklimat selesai, kami telah dibawa oleh petugas ke ruang pameran yang berlangsung di dewan Sri Cempaka.
          Guru pengiring telah membawa kami melawat ke tapak pameran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Ketika di tapak pameran ini, kami telah mengetahui dengan lebih jelas tentang bidang-bidang yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas tamat Tingkatan 5. Kami mendapat maklumat bahawa kos pengajian di IPTA lebih murah berbanding kos pengajian di universiti swasta. Kaunselor yang bertugas juga telah memaklumkan kepada kami bahawa univeristi awam di Malaysia sudah setanding dengan universiti bertaraf antarabangsa. Hal ini demikian kerana banyak universiti di Malaysia telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan contohnya Unversiti Teknologi Malaysia, Univeristi Putra Malaysia dan Universiti Malaya. Kajian-kajian profesor tempatan seperti penciptaan alat pengesan bahan pengawet di dalam makanan juga telah berjaya dicipta. Dalam bidang bahasa pula, hampir seribu orang penuntut asing berkunjung ke univeristi tempatan untuk mempelajari bahasa ibunda kita yang tercinta iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa univeristi awam tempatan sudah setaraf dengan universiti antarabangsa dan kami berharap supaya dapat melangkah kaki ke menara gading pada masa hadapan.
          Selain itu, kami juga telah melawat pameran Angkatan Tentera diRaja Malaysia yang sangat menarik hati. Kami tertarik hati untuk berkunjung ke sini kerana melihat senjata canggih dan kereta kebal yang diletakkan di luar tapak pameran. Kami telah melihat gambar-gambar pasukan tentera Malaysia yang bertugas ketika berada di perbatasan untuk mengawal negara. Kami sedar bahawa tugas sebagai anggota tentera sangat berat kerana ketika kita dibuai mimpi yang indah, mereka bersengkang mata, mempertaruhkan nyawa menjaga keselamatan negara. Dalam pameran ini, kami telah diberi pendedahan tentang tugas sebenar anggota tentera yang bukan sahaja bertugas mempertahankan negara di udara, darat dan laut malah meliputi berbagai-bagai aspek. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama di sini ialah tugas mekanik tentera yang sentiasa menyelenggara kenderaan tempur supaya selamat digunakan ketika menjalankan tugas. Kami juga mendapat tahu bahawa bidang kulinari dalam Angkatan Tentera Malaysia juga sangat penting supaya dapat memastikan tentera negara sentiasa sihat dan cergas untuk menjalankan aktiviti lasak. Melalui lawatan di kios pameran Angkatan Tentera Malaysia ini, jelaslah bahawa tugas anggota tentera itu bukan sahaja mempertahankan negara malahan meliputi banyak lapangan tugas yang berbeza dan mencabar.
          Kami sempat berada di ruang pameran ini selama sejam dan masih banyak lagi tapak pameran yang belum dilawat. Namun, guru pengiring telah mengumpulkan kami untuk bertolak ke sekolah kerana kesuntukan masa. Guru pengiring telah mencadangkan supaya kami melawat lagi pameran ini bersama-sama keluarga tersayang pada hujung minggu. Sepanjang lawatan ini, kami berasa sangat bertuah kerana telah meneroka lautan pekerjaan yang terhidang di Malaysia dan kami juga telah menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengejar cita-cita. Sesungguhnya, lawatan seperti ini sangat bermakna dan kami berharap agar pihak sekolah akan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk merasai nikmatnya.


Disediakan oleh,                                                                          9 April 2012




.....................................
(NEELOFA A/P ALI)
Setiausaha,
Kelas 5 Disiplin,
SMK Sultanah Engku Tun Aminah,
Johor Bahru.







Thursday, June 14, 2012

Teknik Asas untuk Mengembangkan Karangan SPM/PMR.

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.

RAMAI murid yang mengeluh panjang kerana gagal mengembangkan isi dengan baik dalam setiap perenggan karanagn. Mereka hanya mampu untuk menyatakan isi utama sahaja dan sukar untuk mengembangkannya sehingga huraian yang dibaca menjadi jelas seterusnya matang.
         Teknik asas ketika menulis ialah murid-murid perlu tahu bahawa karangan memerlukan kita menguasai lima aspek utama iaitu :

  • Ayat 1 : Isi utama
  • Ayat 2 : Mengapa?
  • Ayat 3 : Bagaimana?
  • Ayat 4 : Contoh/Peribahasa.
  • Ayat 5 : Ayat penegas
         Ketika merangka isi karangan, murid-murid juga perlu merangka huraian karangan mereka. Sebagai contohnya :

Soalan : Peranan ibu bapa  memupuk semangat membaca dalam diri anak-anak

  • Ayat 1 : Isi utama : Berkunjung ke perpustakaan awam yang berhampiran bersama anak-anak.
  • Ayat 2 : Mengapa? : Menarik minat anak-anak untuk membaca buku.
  • Ayat 3 : Bagaimana? : Ibu bapa hendaklah membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada hujung minggu atau cuti umum dan meluangkan masa bersama di sana dengan membaca buku cerita atau majalah.
  • Ayat 4 : Contoh : Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke ruang membaca anak-anak yang sangat menarik yang disedaiakn di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru.
  • Ayat 5 : Ayat penegas : Melalui usaha ini, jelaslah bahawa usaha membawa anak-anak ke perpustakaan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.
Terjemahkannya menjadi perenggan lengkap :

           Antara peranan ibu bapa memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak termasuklah berkunjung ke perpustakaan awam yang berhampiran bersama anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa dapat menarik anak-anak untuk membaca buku. Peranan ibu bapa ini dapat diwujudkan dengan membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada hujung minggu atau cuti umum dan meluangkan masa bersama di sana dengan membaca buku cerita atau majalah. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke ruang membaca anak-anak yang sangat menarik yang disedaiakn di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru. Melalui usaha ini, jelaslah bahawa usaha membawa anak-anak ke perpustakaan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Sekian, semoga paparan ini dapat membantu anda. Kami sangat mengalu-alukan komen yang membina. Selamat berhujung minggu.

Membaca Buku Membuka Dunia.





Wednesday, June 13, 2012

Kalau hidup jangan bongkak.

Assalamualaikum w.b.t.

Anak-anak muridku,
Kalau disuruh oleh gurumu, buatlah dengan ikhlas walaupun disuruh berbaris dan berjemur di tengah panas kerana gurumu juga turut berpanas.
Murid-muridku,
Janganlah takut kulitmu gelap kerana kulit gurumu juga sudah gelap kerana saban tahun berjemur di padang, mendidik kakak-kakakmu mematuhi pemimpin dan memimpin.
Murid-muridku,
Janganlah bongkak kononnya kamu hebat kerana ada yang lebih hebat daripada kamu dan ada yang lebih bongkak daripada kamu.