Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Berikut ialah contoh karangan peperiksaan setengah tahun negeri Johor 2012 yang ingin kami kongsi bersama-sama dengan para pembaca. Para pembaca diizinkan untuk menyalin kembali karangan ini dan digunakan untuk tujuan pemelajaran di dalam kelas atau untuk mengulang kaji bagi menghadapi SPM/PMR (pun boleh juga kalau tajuk ini keluar). Inilah sedekah kami. Karangan contoh ini ada kelemahan. Oleh itu, komen yang membina sangat dialu-alukan. Sekian, terima kasih.
Bahagian
A : Karangan Berpandu
Soalan
: Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
rekreasi kepada masyarakat. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga
250 patah perkataan.
Dewasa ini, masyarakat di Malaysia
semakin sibuk mengejar arus pembangunan yang semakin rancak dari semasa ke
semasa. Kesibukan yang semakin menghambat diri masyarakat telah menyebabkan
mereka kekurangan masa untuk menjalankan aktiviti rekreasi. Situasi ini telah
memberi impak yang amat besar khasnya kepada kesihatan masyarakat. Majoriti
masyarakat di Malaysia mengalami masalah obesiti dan tekanan darah tinggi
kerana kurangnya aktiviti rekreasi. Oleh itu, segala persoalan yang berkaitan
dengan kepentingan rekreasi kepada masyarakat akan dikaji dengan teliti
sehingga ke akar umbi.
Sebagai pembuka tirai perbincangan,
kepentingan utama rekreasi kepada masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah
mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Hal ini perlu diberi
keutamaan kerana masyarakat dapat beramah mesra dan bercampur gaul ketika
melakukan aktiviti rekreasi. Perkara ini dapat direalisasikan dengan meluangkan
masa bersama-sama keluarga melakukan aktiviti rekreasi pada hujung minggu atau
cuti umum. Sebagai contohnya, ahli keluarga boleh melakukan aktiviti rekreasi
seperti berkelah bersama-sama keluarga di Taman Merdeka, Johor Bahru atau
bersantai bersama-sama keluarga di Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor. Aktivit
ini dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam keluarga bak kata peribahasa
“air dicincang tidak akan putus”. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa amalan
rekreasi dalam kalangan masyarakat dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan
persaudaraan.
Selain itu, antara kepentingan
rekreasi kepada masyarakat termasuklah melapangkan fikiran masyarakat. Hal ini
sangat penting kerana otak dan tubuh manusia dapat berehat sebentar daripada
memikirkan tekanan di tempat kerja atau di sekolah dengan menjalani aktiviti
rekreasi. Situasi ini dapat diwujudkan dengan mencari kawasan peranginan
seperti di tempat pantai dan tanah tinggi untuk berehat sambil membaca buku.
Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama bagi menyokong pernyataan ini ialah
masyarakat boleh memilih kawasan peranginan tanah tinggi yang nyaman di Cameron
Highlands atau menghirup udara yang segar di Pantai Air Papan, Mersing.
Aktiviti ini bertetapatan dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat
yang sihat dan cerdas. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa aktiviti
rekreasi dapat melapangkan fikiran masyarakat.
Di samping itu, lontara idea yang
ketiga tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah bertukar-tukar
pendapat untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan. Hal ini perlu
diberi perhatian mendalam kerana setiap perkongsian idea akan berjalan lancar
ketika masyarakat berekreasi khasnya di taman-taman bunga atau taman rekreasi.
Aspirasi murni ini dapat dizahirkan dengan mengadakan perjumpaan atau
perbincangan berkumpulan di taman-taman rekreasi. Sebagai contohnya, penduduk
setempat boleh menggunakan taman rekreasi yang berhampiran seperti Hutan Bandar
Johor Bahru untuk berkumpul dan membincangkan masalah yang dihadapi di kawasan
tempat tinggal mereka. Para pelajar juga boleh menggunakan gazebo yang terdapat
di sekitar Taman Bunga Istana Johor untuk mengadakan sesi belajar secara
berkumpulan. Melalui wacana ini, jelaslah bahawa kepentingan rekreasi kepada
masyarakat ialah dapat bertukar-tukar pendapat.
Seterusnya, perbincangan yang keempat
tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah menyihatkan tubuh. Hujah
ini perlu dipandang serius kerana toksin yang berbahaya untuk badan dapat
dibuang melalui peluh ketika masyarakat menjalankan aktiviti rekreasi. Setiap
perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan bersenam pada setiap
hujung minggu untuk memastikan badan sentiasa sihat dan cerdas. Contoh yang
dapat dibuktikan bagi merungkai segala persoalan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia
sentiasa menggalakkan masyarakat supaya berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah
di kawasan rekreasi yang disediakan kerana aktiviti itu boleh membakar kalori
dan menyingkirkan toksin. Berdasarkan hal ini, sudah terang lagi bersuluh
bahawa aktiviti rekreasi dapat meniyhatkan badan masyarakat.
Sebagai penutup bicara, kepentingan
rekreasi memberi banyak kemaslahatan kepada setiap lapisan masyarakat di
Malaysia. Namun, manfaat ini tidak akan dapat dikecapi oleh setiap lapisan
masyarakat jika mereka sentiasa alpa dengan kesibukan mengejar kemewahan dunia.
Oleh itu, setiap lapisan masyarakat di bawah payung Satu Malaysia hendaklah
menjalankan aktiviti rekreasi demi melahirkan modal insan yang sihat.
Bahagian B
1) Masa depan negara memerlukan generasi
muda yang berilmu pengetahuan agar pembangunan dan kemajuan dapat dikecapi.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara
untuk menjadi remaja yang berilmu.
Dunia semakin berubah dan pesat
membangun hari demi hari. Hal ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya bekalan
ilmu pengetahuan dalam diri setiap remaja agar tidak ketinggalan dalam arus
modenisasi. Nabi Muhammad s.a.w. juga turut berpesan kepada umat akhir zaman
supaya menuntut ilmu hingga ke negeri China kerana proses pemelajaran itu
sebenarnya bermula dari alam buaian hinggalah ke liang lahad. Hal ini
membuktikan bahawa ilmu pengetahuan sangat penting bagi membentuk insan yang
kamil. Bagaimanakah untuk menjadi remaja berilmu? Oleh itu, segala persoalan
tentang cara-cara untuk menjadi remaja berilmu akan dikaji dengan teliti hingga
ke akar umbi.
Sebagai pembuka tirai perbincangan
yang pertama, cara utama yang dapat dikenal pasti untuk menjadi remaja berilmu
ialah setiap remaja perlu mengunjungi perpustakaan awam atau sekolah pada masa
lapang. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana remaja dapat menimba ilmu
pengetahuan daripada hamparan ilmu yang terhidang luas di dalam buku yang
terdapat di perpustakaan. Perkara ini perlu direalisasikan dengan sentiasa
menggunakan khidmat pinjaman buku yang disediakan untuk membaca buku cerita
atau merujuk buku rujukan untuk menjawab latihan yang diberikan oleh guru.
Sebagai contohnya, remaja boleh menggunakan kemudahan yang kondusif di
Perpustakaan Awam Sultan Ismail, Johor Bahru atau mencari maklumat yang
dikehendaki di Perpustakaan Negara Malaysia yang menghimpunkan lautan ilmu yang
dalam tidak terduga. Melalui prakarsa ini, jelaslah bahawa usaha untuk menjadi
remaja berilmu ialah mengunjungi perpustakaan pada waktu lapang.
Selain itu, hujah seterusnya tentang
cara-cara untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus
ketika sesi pengajaran dan pemelajaran di sekolah. Hal ini sangat penting
kerana setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru akan mudah disimpan di
dalam minda tanpa gangguan dan guru juga dapat mengajarkan isi pengajaran
dengan lancar. Situasi ini dapat diwujudkan dengan tidak berbual-bual ketika
guru sedang mengajar dan tidak berkhayal ketika sesi pengajaran dan pemelajaran
berlangsung di dalam kelas seterusnya menyebabkan guru-guru yang mendidik
remaja akan berasa senang hati. Setiap remaja hendaklah menghargai detik masa
sepanjang proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung kerana masa itu ibarat
mata pedang, jika kita tidak memotongnya maka mata pedang itulah yang akan
memotong diri kita sendiri. Berdasarkan hujah ini, jelaslah bahawa cara-cara
untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus ketika
menuntut ilmu di dalam kelas.
Di samping itu, antara cara menjadi
remaja berilmu termasuklah melibatkan diri secara aktif dalam bidang
kokurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum yang
terdapat di sekolah dapat memberikan ilmu tambahan yang sangat berguna kepada
remaja dan ilmu tersebut tidak akan didapati ketika belajar di dalam kelas.
Aspirasi murni untuk menjadi remaja berilmu ini dapat dizahirkan dengan tidak
melepaskan peluang menyertai aktiviti kokurikulum seperti kawad kaki, berkhemah
atau mempelajari seni bela diri. Sebagai contohnya, remaja boleh menyertai
pasukan Kadet Polis atau Kadet Remaja Sekolah yang mampu membentuk jati diri,
semangat kepimpinan, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk dan menyemai
sifat berdikari dalam diri remaja. Melalui perkara ini, sudah terang lagi
bersuluh bahawa aktiviti kokurikulum di sekolah dapat mewujudkan remaja yang
berilmu.
Seterusnya, setiap remaja di Malaysia
juga hendaklah mempunyai wawasan dalam hidup jika ingin merealisasikan hasrat
untuk menjadi remaja berilmu. Hujah ini perlu dipandang serius kerana wawasan
hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam
hidup mereka dan wawasan hidup mampu mengajar remaja erti berdisiplin dan bertanggungjawab
dalam kehidupan seharian. Perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan
mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapainya bak kata peribahasa ”yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang”. Conoh yang dapat menjawab segala
persoalan ini ialah kebanyakan remaja yang mempunyai wawasan akan lebih
mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan
mereka. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa memiliki wawasan dalam hidup
merupakan usaha yang penting untuk mewujudkan remaja berilmu.
Sebagai kesimpulannya,setiap perkara
yang berkaitan dengan usaha-usaha untuk mewujudkan remaja berilmu telah dikupas
dengan mendalam. Namun, usaha ini tidak akan dapat berjaya jika setiap remaja
sentiasa lalai dengan budaya hedonism yang melanda dunia. Oleh itu, setiap
remaja di bawah payung Satu Malaysia hendaklah bertindak segera kerana ilmu
ialah kunci kejayaan dalam kehidupan.
2)
Kehendak soalan : Peranan pelbagai
pihak untuk menghargai warga tua.
Warga
tua merujuk ibu, bapa,datuk atau nenek,bapa saudara atau ibu saudara yang sudah
berumur. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga,
masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan
untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan
ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh
masyarakat. Berdasarkan situasi ini, apakah langkah pragmatik yang perlu
dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka?
Adakah usaha tersebut mampu membibitkan rasa dihargai dalam diri warga tua?
Oleh itu, setiap persoalan yang berkaitan dengan peranan pelbagai pihak akan
dikaji dengan teliti sehingga ke akar umbi.
Sebagai
pembuka tirai perbincangan yang pertama, langkah efektif yang dapat mewujudkan
penghargaan kepada warga tua ialah setiap ahli keluarga perlu menyayangi warga
tua dengan sepenuh hati. Setiap ahli keluarga perlu menyayangi warga emas ini
dengan perasaan cinta yang tidak berbelah bahagi kerana warga tua merupakan
insan yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah
tangga serta mendidik anak-anak dari kecil hingga dewasa manakala bapa pula
membanting tulang empat kerat memerah keringat mencari rezeki untuk membesarkan
anak-anak. Situasi ini dapat diwujudkan dengan sentiasa mengingati pengorbanan
ibu bapa dan membalas jasa mereka dengan sebaik-baiknya seperti menyediakan
tempat tinggal yang sempurna, menjaga mereka yang sudah tua atau uzur atau
sentiasa menjenguk mereka yang tinggal di kampung dan jangan terlintas langsung
di dalam fikiran untuk menghantar mereka ke rumah warga tua. Berdasarkan
perkara ini, jelaslah bahawa usaha yang utama untuk menghargai warga tua ialah
menyayangi warga tua dengan sepenuh hati.
Selain itu, hujah seterusnya tentang
peranan pelbagai pihak untuk menghargai warga tua ialah guru boleh mendidik
pelajar agar menghormati warga tua. Peranan guru sangat penting untuk memupuk
nilai menghargai warga tua dalam diri masyarakat khasnya murid-murid sekolah
kerana warga tua yang terdiri daripada
ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Situasi ini dapat diwujudkan dengan menerapkan
cara bertutur dengan sopan apabila berbicara dengan warga emas seperti tidak meninggikan suara atau
menggunakan bahasa kesat kerana perbuatan sedemikian boleh mencalarkan hati
warga yang berjasa ini. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama bagi menyokong
hujah ini ialah amalan menghormati warga tua ada diterapkan oleh guru melalui
subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang diajarkan di sekolah-sekolah
bagi mewujudkan modal insan yang tahu menghargai warga tua. Berdasarkan perkara
ini, jelaslah bahawa peranan guru sangat penting dalam usaha menghargai warga
tua.
Di
samping itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang sangat penting untuk
mewujudkan penghargaan terhadap warga tua. Hal ini perlu diberi perhatian mendalam kerana warga
emas merupakan warga yang banyak berjasa dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi
dan kestabilan poilitik negara. Aspirasi murni ini dapat dizahirkan apabila
pihak kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga
tua yang ada di Malaysia.
Sebagai tamsilnya, perkara ini boleh dilihat melalui program transformasi
negara yang memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (B1RM) kepada warga tua
bertujuan untuk meringankan beban sara hidup mereka serta memudahkan mereka
untuk memiliki kehidupan yang lebih baik. Melalui prakarsa yang dibincangkan
dalam wacana ini, nyatalah bahawa usaha pihak kerajaan akan membuatkan warga
tua lebih disayangi dan dihormati.
Seterusnya,
perbincangan yang keempat tentang peranan pelbagai pihak untuk menghargai jasa
warga tua ialah media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh
menyiarkan cerita-cerita berkaitan pengorbanan warga tua. Hujah ini perlu
dipandang serius kerana dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang
pentingnya warga tua dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang dibincangkan
ini mampu diwujudkan dengan menyiarkan sumbangan warga tua dalam memajukan
negara atau menyelamatkan negara melalui dokumentari televisyen. Contoh yang
dapat dibuktikan bagai merungkai segala persoalan ialah usaha saluran History
yang disediakan oleh stesen televisyen berbayar Astro yang menyiarkan
pengorbanan pihak polis mempertahankan balai bolis dalam tragedi Bukit Kepong
wajar dipuji kerana usaha itu dapat menghargai sumbangan warga tua yang telah
berkorban nyawa ketika mereka masih bertenaga suatu ketika dahulu. Berdasarkan
mauduk yang dihuraikan ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa langkah media
massa menyiarkan kisah pengorbanan warga tua sangat penting untuk menyemai
penghargaan kepada warga tua.
Akhir kalam,
pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka
siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing kerana pada suatu hari nanti, kita juga pasti
akan melalui zaman emas tersebut dan itulah hakikat kitaran alam.
3) Kehendak
soalan : Kepentingan amalan hidup berjiran.
Nusa
tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang
kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun
bak serai. Sehubungan dengan itu,
kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di
kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara
satu sama lain. Namun, ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada
pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak
mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan
oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran
kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya,
semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di
sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota
masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka
tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan
perayaan atau perjumpaan bulanan
komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan
hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing
tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan
bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan
anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain
itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan
dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei
1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah,
negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman.
Berdasarkan situasi ini, semangat kejiranan membolehkan semua anggota
masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini
boleh mempelajari perbezaan budaya dan
sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat
bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Melalui perkara ini, jelaslah
bahawa semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu
dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di
samping itu, antara kepentingan semangat kejiranan termasuklah memudahkan
kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada
rakyat. Hal ini demikian kerana slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan
bahawa apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai
rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar
tanpa sebarang kekangan. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina
pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti
dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat
komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh
anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Berdasarkan perkara
ini, jelaslah bahawa semangat kejiranan penting bagi membantu anggota
masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang
disediakan oleh pihak kerajaan.
Semangat
kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong
asing ke negara ini banyak disebabkan oleh kehidupan masyarakat Malaysia yang
unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni
dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu
menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai
contohnya, pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan
pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara
kita yang amat disukai oleh para
pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti
Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan
semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Berdasarkan hal ini,
sudah terang lagi bersuluh bahawa sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu
memberangsangkan kepada negara.
Intihanya,
semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan
masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Namun, setiap manfaat
daripada amalan murni ini tidak akan dapat dikecapi jika setiap lapisan
masyarakat masih lagi tebal dengan sikap mementingkan diri sendiri. Oleh itu,
setiap lapisan masyarakat di bawah payung Satu Malaysia hendaklah mengekalkan
suasana harmoni dalam kalangan rakyat bagi memastikan Malaysia terus cemerlang
dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji dapat
melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta
ke arah kegemilangan.
No comments:
Post a Comment