Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahetra.
Buah tangan untuk pembaca hari ini ialah contoh karangan laporan. Semoga dapat sesuatu. Komen dan cadangan sangat seronok untuk dibaca.
Laporan Lawatan Kelas 5 Disiplin ke Pameran Kerjaya
di Persada Johor, Johor Bahru.
Pada
30 Mac 2012 yang lalu, kelas 5 Disiplin telah mendapat peluang keemasan yang
tidak boleh disia-siakan dalam hidup. Pada tarikh bahagia tersebut, kelas 5
Disiplin telah diberi peluang oleh pihak sekolah untuk menghadiri Pameran
Kerjaya di Persada Johor, Johor Bahru. Peluang yang diberikan ini telah
membuatkan setiap pelajar tidak sabar-sabar lagi untuk menimba ilmu pengetahuan
daripada lawatan sambil belajar ini. Seramai 40 orang telah terlibat dan dua
orang guru pengiring telah mengiringi kami iaitu Puan Najidah dan Cik Nalini
Madavan.
Tujuan
lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar
tentang peluang-peluang kerjaya yang sesuai selepas tamat alam persekolahan.
Pameran ini telah mendapat tajaan daripada beberapa syarikat korporat seperti
Syarikat Buku Ali Sdn. Bhd. dan Syarikat Air Johor. Program ini juga bertujuan
untuk memberi maklumat yang terperinci tentang bidang pekerjaan yang terdapat
di Malaysia di samping memberikan motivasi kepada para pelajar supaya dapat
bersaing dalam arus pembangunan negara. Melalui perkara ini, kami sentiasa
berharap supaya setiap peserta akan mendapat manfaatnya.
Perjalanan
kami dengan menaiki bas yang ditaja oleh Syarikat Bas Mayang Sari telah melalui
jalan raya yang sibuk. Namun, kami telah tiba di lokasi tepat pada waktunya
iaitu pada pukul 8.30 pagi. Disiplin pelajar yang mantarp telah memudahkan guru
pengiring untuk membawa kami. Setiap pelajar beratur dengan tertib dan sentiasa
peka akan arahan guru pengiring. Guru pengiring telah membawa kami ke meja
pendaftaran lalu disambut dengan tangan terbuka oleh petugas pameran tersebut.
Hati gembira tidak terkata apabila kami dihadiahkan buku catatan dan sebatang
pen oleh pihak penganjur supaya memudahkan kami mencatat maklumat yang berguna
untuk dikongsi bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Setelah mendaftar, Pegawai
Perhubungan Awam Persada Johor iaitu Encik Roslan bin Kaliwon telah
menyampaikan taklimat ringkas tentang perjalanan kami dalam program ini secara
jelas dan terperinci. Sebaik sahaja taklimat selesai, kami telah dibawa oleh
petugas ke ruang pameran yang berlangsung di dewan Sri Cempaka.
Guru
pengiring telah membawa kami melawat ke tapak pameran Kementerian Pengajian
Tinggi Malaysia. Ketika di tapak pameran ini, kami telah mengetahui dengan
lebih jelas tentang bidang-bidang yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) selepas tamat Tingkatan 5. Kami mendapat maklumat bahawa kos
pengajian di IPTA lebih murah berbanding kos pengajian di universiti swasta.
Kaunselor yang bertugas juga telah memaklumkan kepada kami bahawa univeristi
awam di Malaysia sudah setanding dengan universiti bertaraf antarabangsa. Hal
ini demikian kerana banyak universiti di Malaysia telah diiktiraf sebagai
universiti penyelidikan contohnya Unversiti Teknologi Malaysia, Univeristi
Putra Malaysia dan Universiti Malaya. Kajian-kajian profesor tempatan seperti
penciptaan alat pengesan bahan pengawet di dalam makanan juga telah berjaya
dicipta. Dalam bidang bahasa pula, hampir seribu orang penuntut asing
berkunjung ke univeristi tempatan untuk mempelajari bahasa ibunda kita yang
tercinta iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa univeristi awam
tempatan sudah setaraf dengan universiti antarabangsa dan kami berharap supaya
dapat melangkah kaki ke menara gading pada masa hadapan.
Selain
itu, kami juga telah melawat pameran Angkatan Tentera diRaja Malaysia yang
sangat menarik hati. Kami tertarik hati untuk berkunjung ke sini kerana melihat
senjata canggih dan kereta kebal yang diletakkan di luar tapak pameran. Kami
telah melihat gambar-gambar pasukan tentera Malaysia yang bertugas ketika
berada di perbatasan untuk mengawal negara. Kami sedar bahawa tugas sebagai
anggota tentera sangat berat kerana ketika kita dibuai mimpi yang indah, mereka
bersengkang mata, mempertaruhkan nyawa menjaga keselamatan negara. Dalam
pameran ini, kami telah diberi pendedahan tentang tugas sebenar anggota tentera
yang bukan sahaja bertugas mempertahankan negara di udara, darat dan laut malah
meliputi berbagai-bagai aspek. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama di sini
ialah tugas mekanik tentera yang sentiasa menyelenggara kenderaan tempur supaya
selamat digunakan ketika menjalankan tugas. Kami juga mendapat tahu bahawa
bidang kulinari dalam Angkatan Tentera Malaysia juga sangat penting supaya
dapat memastikan tentera negara sentiasa sihat dan cergas untuk menjalankan
aktiviti lasak. Melalui lawatan di kios pameran Angkatan Tentera Malaysia ini,
jelaslah bahawa tugas anggota tentera itu bukan sahaja mempertahankan negara
malahan meliputi banyak lapangan tugas yang berbeza dan mencabar.
Kami
sempat berada di ruang pameran ini selama sejam dan masih banyak lagi tapak
pameran yang belum dilawat. Namun, guru pengiring telah mengumpulkan kami untuk
bertolak ke sekolah kerana kesuntukan masa. Guru pengiring telah mencadangkan
supaya kami melawat lagi pameran ini bersama-sama keluarga tersayang pada
hujung minggu. Sepanjang lawatan ini, kami berasa sangat bertuah kerana telah
meneroka lautan pekerjaan yang terhidang di Malaysia dan kami juga telah
menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengejar cita-cita.
Sesungguhnya, lawatan seperti ini sangat bermakna dan kami berharap agar pihak
sekolah akan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk merasai nikmatnya.
Disediakan oleh, 9
April 2012
.....................................
(NEELOFA A/P ALI)
Setiausaha,
Kelas 5 Disiplin,
SMK Sultanah Engku Tun Aminah,
Johor Bahru.
its mantap... not mantarp...
ReplyDeletethanks
ReplyDeleteHai cg
ReplyDeleteDoakan saya SPM tahun ni yer cikgu💪😊
ReplyDeleteSaya gak cikgu
Delete