Tuesday, May 22, 2012

Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu SMK SETA kali kedua 2012

Assalamualaiukum dan selamat sejahtera.

Kehadapan sahabat-sahabat guru Bahasa Melayu SMK Sultanah Engku Tun Aminah,

Sukacitanya, mesyuarat panitia Bahasa Melayu kali kedua tahun 2012 akan diadakan pada 24 Mei 2012 jam 2.40 petang di Bilik Wawasan. Berikut ialah agenda mesyuarat kita ;
1) Kata alu-aluan pengerusi
2) Perkara berbangkit
3) Pelaksanaan Minggu Bahasa 2012
4) Pelaksanaan pengisian Dasar MBMBI
5) Kerja ruamh pada cuti penggal
6) Laporan penyeliaan dan pencerapan
7) Analisis item Peperiksaan Setengah Tahun
8) Hal-hal lain.

Semoga sahabat-sahabat dapat hadir tepat pada waktunya. Sekian, terima kasih.

Monday, May 21, 2012

Koleksi soalan SPM sedia untuk dikongsi.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pihak pengurusan blog ingin mempelawa sesiapa sahaja untuk berkongsi soalan SPM dengan kami. Sila e-mel pengurus blog dan pihak pengurusan blog akan menghantarkannya melalui e-mel. Hal ini demikian kerana kami belum mempunyai khidmat penstoran fail maya berbayar. Khidmat percuma biasanya mengalami masalah "broken link" dan menyebabkan kami terpaksa memuat naik fail itu sekali lagi. Kami cuba untuk mengatasi masalah ini dengan segera untuk memudahkan anda.

Kami tiada harta tetapi ada ilmu untuk disedekah. Sekian, terima kasih.

Kekeliruan marcapada ini dan marcapada.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera anak didik kami.

Penggunaan "marcapada ini" dalam karangan Bahasa Melayu SPM dan PMR semakin kerap khasnya pada pangkal ayat. Kami ucapkan tahniah kerana berani mencuba perkataan yang jarang-jarang digunakan dan disebut. Namun, penggunaan "marcapada ini" tidak gramatis kerana ada unsur lewah. Hal ini demikian kerana "marcapada" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud dunia sekarang ini. Oleh itu, wajarlah kita menggunakan "marcapada" sahaja.

Ayat contoh :

1) Kita janganlah terpedaya dengan marcapada yang penuh dengan muslihat.
2) Dalam marcapada yang semakin membangun, penyakit sosial semakin merungsingkan banyak pihak.

Sekian,terima kasih.

Thursday, May 17, 2012

Selamat menjawab anak-anakku.

Assalamualaikum, selamat sejahtera dan salam Satu Malaysia.

Peperiksaan setengah tahun telah bermula hampir dua minggu. Pihak pengurusan blog panitia ingin mengucapkan selamat menjawab dengan jaya kepada semua warga SMK Sultanah Engku Tun Aminah dan seluruh murid-murid di negeri Johor. Soalan peperiksaan tingkatan lima dan tiga pada kali ini ialah peperiksaan setara yang digubal di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Pihak pengurusan blog berharap agar semua murid dapat menjawab dengan cemerlang. Bukan senang nak senang dan bukan susah nak menjadi susah. Sekian, terima kasih.

Kalah Dengan Bergaya.

Pemidato SMK Sultanah Engku Tun Aminah; Saudari Alia Aqilah telah tertewas dalam pertandingan pidato yang lalu. Dia sangat berbakat namun, rezeki tidak menyebelahinya. Kami dengan rendah dirinya mencadangkan supaya pihak penganjur pertandingan menyediakan hakim yang benar-benar berpengalaman dan berkaliber ketika mengadili pertandingan dan tidak tangkap muat sahaja. Sekian, terima kasih.
           Berikut ialah aksi Aqilah yang sempat dirakamkan.


MINGGU BAHASA 2012

        Zaman beralih, musim bertukar dan pada tahun ini, syukur kepada Tuhan kerana Panitia Bahasa Melayu SMK Sultanah Engku Tun Aminah berjaya melaksanakan Minggu Bahasa 2012. Antara aktiviti yang dijalankan pada tahun ini termasuklah pertandingan teka silang kata, pertandingan mengenal pasti kesalahan ejaan, pertandingan tulisan cantik kata-kata pendeta, pertandingan menulis surat kepada pengetua dan pertandingan pidato yang bertajuk Andai Saya Pengetua SMK SETA'. Pada tahun ini juga, pihak panitia berjaya menghadiahkan baucar tunai Mc Donalds kepada para pemenang. Panitia Bahasa Melayu ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk menjayakan program ini. Kita akan bertemu lagi pada Bulan Bahasa Kebangsaan. Tunggulah.







Pengurusan Fail Panitia.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam Satu Malaysia.

Pengurusan fail panitia sememangnya memeningkan kepala ketika pertama kali kita menguruskannya. Pada awal pelihatan, fail ini nampak membebankan dan seakan-akan tidak berfungsi. Namun, alah bisa tegal biasa dan kewujudan fail-fail ini banyak membantu guru untuk meningkatkan prestasi subjek yang diajarkan. Sebagai contohnya, fail laporan penyeliaan daripada pihak pentadbir membantu mempertingkatkan mutu pengajaran guru.
        Berikut ialah senarai fail yang perlu diberi perhatian oleh setiap ketua panitia dan guru:

1) Fail Induk
- Surat menyurat dan minit mesyuarat (mesyuarat diadakan sekurang-kurangnya 4 kali dalam setahun).
- Surat pekeliling berkaitan dengan panitia.

2) Fail Sukatan Pelajaran
- Sukatan pelajaran berdasarkan tahun semasa.
- Huraian Sukatan Pelajaran.
- Rancangan Pelajaran Tahunan berdasarkan tahun semasa.
- Senarai buku rujukan guru dan murid-murid berdasarkan tahun semasa.
- Plan J (negeri Johor sahaja)

3) Fail Program Kecemerlangan  
- Perancangan program tahunan.
- Laporan pelaksanaan program.
- Program peningkatan akademik (lazimnya diadakan selepas audit akademik dilaksanakan).

4) Fail Pentaksiran dan Penilaian
- Analisis keputusan peperiksaan awam dan peringkat sekolah.
- Analisis pencapaian mata pelajaran dalam peperiksaan awam dan peringkat sekolah.
- Program Headcount.
- Post mortem sesudah peperiksaan.

5) Fail Penyeliaan
- Jadual penyeliaan berdasarkan tahun semasa.
- Laporan penyeliaan Pengajaran dan Pembelajaran oleh pemerhati.
- Tindakan yang dilakukan setelah pencerapan dilaksanakan.

6) Fail Pemeriksaan Buku Ramapaian
- Jadual pemeriksaan buku rampaian 2012.
- Laporan pemeriksaan buku ramapaian, buku kerja dan buku nota.

7) Maklumat guru mata pelajaran
- Maklumat peribadi setiap guru yang berada di bawah sesuatu panitia
 (sentiasa dikemaskini mengikut tahun).
- Jadual waktu mengajar guru.
- Carta organisasi panitia. (sentiasa dikemaskini mengikut tahun)

Panduan untuk mengurus fail.
  • Simpan di tempat yang sesuai dan susun mengikut turutan.
  • Pastikan fail tersebut dilabel mengikut cara pengurusan fail yang ditetapkan (fail putih).
  • Sentiasa kemas kini dari semasa ke semasa.
  • Jangan bertangguh kerana akan menyebabkan fail ini bakal menghimpit kepala anda.
  • Anggaplah tugas mengurs fail ini sebagai ibadah. Nescaya akan mendapat kemanisannya daripada Allah swt.
  • Kena ingat bahawa guru juga penGURUs.
Sekian, banyak lagi yang ingin kami kongsikan. Terima kasih kerana membaca.

Wednesday, May 16, 2012

Segar dari bukit.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Selamat datang ke laman blog panitia Bahasa Melayu SMK Sultanah Engku Tun Aminah, Johor Bahru, Johor. Semoga kehadiran blog ini dapat memberi manfaat kepada pencapaian Bahasa Melayu PMR dan SPM negeri Johor seterusnya memartabatkan kegemilangan Bahasa Melayu. Blog ini masih dalam pembikinan. Segala bahan mentah masih ada di dalam cakera keras saya dan menunggu masa untuk dimuat naik. Segala komen atau cadangan yang membina, sudi-sudikanlah sampaikan kepada pengurus blog melalui e-mel. Sekian, terima kasih.