Sunday, June 3, 2012

Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’.
Para pelajar sering keliru dengan penggunaan kata pemeri ialah dan adalah ketika menulis karangan. Berikut ialah penerangan ringkas tentang penggunaan kata pemeri dalam ayat.
 
1)      Kata pemeri ialah hendaklah diikuti oleh kata nama, frasa nama atau kata komplemen. Ayat contoh :
-          Pengetua sekolah saya yang baharu ialah Puan Sallina binti Hussain.
-          Makanan kegemaran saya ialah mi goreng.
2)      Selain itu, kata pemeri ialah juga boleh diikuti oleh kata kerja yang berfungsi sebagai kata nama. Ayat contoh :
-          Kegemaran saya pada waktu lapang ialah membaca buku cerita.
3)      Kata pemeri adalah hendaklah diikuti oleh kata adjektif atau kata sendi nama. Ayat contoh :
a.       Penggunaan dengan kata adjektif benar.
-          Kenyataan yang dikemukakan oleh kedua-dua orang saksi dalam kes itu adalah benar.
b.      Penggunaan dengan kata sendi nama pada dan untuk.
-          Tarikh perkahwinan abang saya adalah pada 7 Julai 2012.
-          Kursus ini adalah untuk guru-guru yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.
4)      KATA PEMERI ADALAH TIDAK BOLEH DIIKUTI OLEH KATA KERJA.
a.       Contoh kesalahan dalam ayat:
-          Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat itu dibatalkan.(salah)
-          Permohonannya adalah bergantung pada keputusan ahli majlis.(salah)
-          Usaha-usaha mengembalikan semangat kejiranan adalah menganjurkan majlis rumah terbuka.(salah)
b.      Pembetulan :
-          Dimaklumkan bahawa mesyuarat itu dibatalkan.
-          Permohonannya bergantung pada keputusan ahli majlis.
-          Usaha-usaha mengembalikan semangat kejiranan ialah menganjurkan majlis rumah terbuka.

No comments:

Post a Comment