Saturday, June 23, 2012

Kelas Bimbingan Bahasa Melayu SPM/PMR

Kelas Bimbingan Bahasa Melayu SPM Cikgu Darwis akan bermula esok (Ahad) jam 5.30 petang di Pusat Tuisyen Berkat Jaya, No 49,Susur Dewata 1, Larkin Perdana,Johor Bahru (di bawah pusat tuisyen ada kedai dobi,kedai alat tulis dan KFC).
Bersedia membantu pelajar-pelajar lemah dalam Bahasa Melayu SPM dengan modul-modul pengajaran dan pemelajaran yang sesuai.
Hubungi  0193640153.

Monday, June 18, 2012

Teknik Menulis Pendahuluan Rumusan SPM.

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera.
Nikmatilah sajian pada hari ini. Sekian, terima kasih.


-    Kenal pasti kata kunci dalam soalan.
-          Bulatkan kata kunci tersebut.
-          Tukarkan makna kata kunci itu.
        

 Contoh kata kunci : 
Punca : sebab, faktor.
Kesan : akibat,impak.
Kebaikan : faedah, kepentingan, kelebihan,manfaat.
Usaha : langkah, cara, modus operandi.
Peranan : fungsi.
Tujuan : Matlamat, objektif
Masalah : halangan, kekangan, cabaran.
Ciri : sifat, bentuk.


-          Contoh soalan :
       Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian batu satu rumusan tentang kepentingan sains sukan dan langkah-langkah untuk memartabatkan mutu sukan negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     
      Kepentingan = kebaikan, faedah, manfaat
       
           Contoh pendahuluan :
            Petikan membincangkan kebaikan sains sukan di Malaysia.

       Contoh lain:
                Petikan membincangkan kebaikan ketawa untuk keharmonian masyarakat.                      

             Petikan membincangkan faedah-faedah amalan menabung kepada masyarakat demi masa hadapan yang cerah.

-          Perlu letakkan sedikit penerangan (rujuk contoh) untuk layak mendapat 2 markah dalam pendahuluan.

Sunday, June 17, 2012

Kelemahan Ketika Menulis Karangan.

  • Tidak memahami/menghayati kehendak soalan.
  • Huraian biasa-biasa.
  • Ayat biasa/selamat/mudah
  • Tidak dapat mengembangkan isi.
  • Pemerengganan lemah (ada yang panjang,ada yang pendek dan huraian isi tidak tersusun)

CONTOH KARANGAN LULUS: 



 
Faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong ke Malaysia.
                Kini, ramai pelancong dari luar negara suka melawat ke Malaysia . Sebagai contohnya, mereka melawat Melaka, Pulau Langkawi, Pantai Desaru dan Danga Bay. Hal ini kerana Malaysia mempunyai banyak faktor yang menarik kedatangan pelancong.
              Pada pendapat saya, faktor pertama Malaysia menjadi tempat pelancongan ialah Malaysia mempunyai banyak tempat yang menarik. Pelancong tertarik dengan keindahan yang terdapat di Malaysia. Mereka boleh berkelah dan mandi manda di tepi pantai atau menikmati udara segar di sini. Sebagai contohnya, Pantai Desaru di Johor sangat indah dan ramai pelancong datang di sana. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang menarik di Malaysia adalah faktor utama kedatangan pelancong.
               Di samping itu, Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah untuk dilawati. Negara kita mempunyai banyak warisan sejarah bertaraf dunia. Pelancong boleh mengenali sejarah negara kita. Pelancong boleh mengunjungi pameran sejarah dan muzium di Malaysia. Sebagai contohnya, pelancong boleh melawat negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang bersejarah adalah faktor kedua yang menarik kedatangan pelancong.
                 Selain itu, Malaysia banyak tempat membeli belah. Harga barang yang dijual di Malaysia lebih murah. Banyak barangan berjenama terkenal dijual di Malaysia dengan harga yang berpatutan. Pelancong boleh membeli belah di Malaysia dengan gembira. Pihak kerajaan juga telah melancarkan Karnival Jualan Mega untuk menarik pelancong membeli belah di Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat membeli belah yang banyak dapat menarik kedatangan pelancong.


                    Kesimpulannya, banyak faktor yang boleh menarik kedatangan pelancong di  Malaysia. Namun, pelancong tidak akan datang jika kita tidak menjaga  negara kita dengan baik. Marilah kita berusaha supaya negara kita menjadi terkenal di seluruh dunia.

 


Contoh karangan berformat : Laporan


Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahetra. 
Buah tangan untuk pembaca hari ini ialah contoh karangan laporan. Semoga dapat sesuatu. Komen dan cadangan sangat seronok untuk dibaca.


Laporan Lawatan Kelas 5 Disiplin ke Pameran Kerjaya
di Persada Johor, Johor Bahru.

          Pada 30 Mac 2012 yang lalu, kelas 5 Disiplin telah mendapat peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan dalam hidup. Pada tarikh bahagia tersebut, kelas 5 Disiplin telah diberi peluang oleh pihak sekolah untuk menghadiri Pameran Kerjaya di Persada Johor, Johor Bahru. Peluang yang diberikan ini telah membuatkan setiap pelajar tidak sabar-sabar lagi untuk menimba ilmu pengetahuan daripada lawatan sambil belajar ini. Seramai 40 orang telah terlibat dan dua orang guru pengiring telah mengiringi kami iaitu Puan Najidah dan Cik Nalini Madavan.
          Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang peluang-peluang kerjaya yang sesuai selepas tamat alam persekolahan. Pameran ini telah mendapat tajaan daripada beberapa syarikat korporat seperti Syarikat Buku Ali Sdn. Bhd. dan Syarikat Air Johor. Program ini juga bertujuan untuk memberi maklumat yang terperinci tentang bidang pekerjaan yang terdapat di Malaysia di samping memberikan motivasi kepada para pelajar supaya dapat bersaing dalam arus pembangunan negara. Melalui perkara ini, kami sentiasa berharap supaya setiap peserta akan mendapat manfaatnya.
          Perjalanan kami dengan menaiki bas yang ditaja oleh Syarikat Bas Mayang Sari telah melalui jalan raya yang sibuk. Namun, kami telah tiba di lokasi tepat pada waktunya iaitu pada pukul 8.30 pagi. Disiplin pelajar yang mantarp telah memudahkan guru pengiring untuk membawa kami. Setiap pelajar beratur dengan tertib dan sentiasa peka akan arahan guru pengiring. Guru pengiring telah membawa kami ke meja pendaftaran lalu disambut dengan tangan terbuka oleh petugas pameran tersebut. Hati gembira tidak terkata apabila kami dihadiahkan buku catatan dan sebatang pen oleh pihak penganjur supaya memudahkan kami mencatat maklumat yang berguna untuk dikongsi bersama-sama kawan-kawan di sekolah. Setelah mendaftar, Pegawai Perhubungan Awam Persada Johor iaitu Encik Roslan bin Kaliwon telah menyampaikan taklimat ringkas tentang perjalanan kami dalam program ini secara jelas dan terperinci. Sebaik sahaja taklimat selesai, kami telah dibawa oleh petugas ke ruang pameran yang berlangsung di dewan Sri Cempaka.
          Guru pengiring telah membawa kami melawat ke tapak pameran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Ketika di tapak pameran ini, kami telah mengetahui dengan lebih jelas tentang bidang-bidang yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas tamat Tingkatan 5. Kami mendapat maklumat bahawa kos pengajian di IPTA lebih murah berbanding kos pengajian di universiti swasta. Kaunselor yang bertugas juga telah memaklumkan kepada kami bahawa univeristi awam di Malaysia sudah setanding dengan universiti bertaraf antarabangsa. Hal ini demikian kerana banyak universiti di Malaysia telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan contohnya Unversiti Teknologi Malaysia, Univeristi Putra Malaysia dan Universiti Malaya. Kajian-kajian profesor tempatan seperti penciptaan alat pengesan bahan pengawet di dalam makanan juga telah berjaya dicipta. Dalam bidang bahasa pula, hampir seribu orang penuntut asing berkunjung ke univeristi tempatan untuk mempelajari bahasa ibunda kita yang tercinta iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu, jelaslah bahawa univeristi awam tempatan sudah setaraf dengan universiti antarabangsa dan kami berharap supaya dapat melangkah kaki ke menara gading pada masa hadapan.
          Selain itu, kami juga telah melawat pameran Angkatan Tentera diRaja Malaysia yang sangat menarik hati. Kami tertarik hati untuk berkunjung ke sini kerana melihat senjata canggih dan kereta kebal yang diletakkan di luar tapak pameran. Kami telah melihat gambar-gambar pasukan tentera Malaysia yang bertugas ketika berada di perbatasan untuk mengawal negara. Kami sedar bahawa tugas sebagai anggota tentera sangat berat kerana ketika kita dibuai mimpi yang indah, mereka bersengkang mata, mempertaruhkan nyawa menjaga keselamatan negara. Dalam pameran ini, kami telah diberi pendedahan tentang tugas sebenar anggota tentera yang bukan sahaja bertugas mempertahankan negara di udara, darat dan laut malah meliputi berbagai-bagai aspek. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama di sini ialah tugas mekanik tentera yang sentiasa menyelenggara kenderaan tempur supaya selamat digunakan ketika menjalankan tugas. Kami juga mendapat tahu bahawa bidang kulinari dalam Angkatan Tentera Malaysia juga sangat penting supaya dapat memastikan tentera negara sentiasa sihat dan cergas untuk menjalankan aktiviti lasak. Melalui lawatan di kios pameran Angkatan Tentera Malaysia ini, jelaslah bahawa tugas anggota tentera itu bukan sahaja mempertahankan negara malahan meliputi banyak lapangan tugas yang berbeza dan mencabar.
          Kami sempat berada di ruang pameran ini selama sejam dan masih banyak lagi tapak pameran yang belum dilawat. Namun, guru pengiring telah mengumpulkan kami untuk bertolak ke sekolah kerana kesuntukan masa. Guru pengiring telah mencadangkan supaya kami melawat lagi pameran ini bersama-sama keluarga tersayang pada hujung minggu. Sepanjang lawatan ini, kami berasa sangat bertuah kerana telah meneroka lautan pekerjaan yang terhidang di Malaysia dan kami juga telah menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengejar cita-cita. Sesungguhnya, lawatan seperti ini sangat bermakna dan kami berharap agar pihak sekolah akan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk merasai nikmatnya.


Disediakan oleh,                                                                          9 April 2012




.....................................
(NEELOFA A/P ALI)
Setiausaha,
Kelas 5 Disiplin,
SMK Sultanah Engku Tun Aminah,
Johor Bahru.







Thursday, June 14, 2012

Teknik Asas untuk Mengembangkan Karangan SPM/PMR.

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.

RAMAI murid yang mengeluh panjang kerana gagal mengembangkan isi dengan baik dalam setiap perenggan karanagn. Mereka hanya mampu untuk menyatakan isi utama sahaja dan sukar untuk mengembangkannya sehingga huraian yang dibaca menjadi jelas seterusnya matang.
         Teknik asas ketika menulis ialah murid-murid perlu tahu bahawa karangan memerlukan kita menguasai lima aspek utama iaitu :

  • Ayat 1 : Isi utama
  • Ayat 2 : Mengapa?
  • Ayat 3 : Bagaimana?
  • Ayat 4 : Contoh/Peribahasa.
  • Ayat 5 : Ayat penegas
         Ketika merangka isi karangan, murid-murid juga perlu merangka huraian karangan mereka. Sebagai contohnya :

Soalan : Peranan ibu bapa  memupuk semangat membaca dalam diri anak-anak

  • Ayat 1 : Isi utama : Berkunjung ke perpustakaan awam yang berhampiran bersama anak-anak.
  • Ayat 2 : Mengapa? : Menarik minat anak-anak untuk membaca buku.
  • Ayat 3 : Bagaimana? : Ibu bapa hendaklah membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada hujung minggu atau cuti umum dan meluangkan masa bersama di sana dengan membaca buku cerita atau majalah.
  • Ayat 4 : Contoh : Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke ruang membaca anak-anak yang sangat menarik yang disedaiakn di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru.
  • Ayat 5 : Ayat penegas : Melalui usaha ini, jelaslah bahawa usaha membawa anak-anak ke perpustakaan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.
Terjemahkannya menjadi perenggan lengkap :

           Antara peranan ibu bapa memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak termasuklah berkunjung ke perpustakaan awam yang berhampiran bersama anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa dapat menarik anak-anak untuk membaca buku. Peranan ibu bapa ini dapat diwujudkan dengan membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada hujung minggu atau cuti umum dan meluangkan masa bersama di sana dengan membaca buku cerita atau majalah. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke ruang membaca anak-anak yang sangat menarik yang disedaiakn di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru. Melalui usaha ini, jelaslah bahawa usaha membawa anak-anak ke perpustakaan dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Sekian, semoga paparan ini dapat membantu anda. Kami sangat mengalu-alukan komen yang membina. Selamat berhujung minggu.

Membaca Buku Membuka Dunia.





Wednesday, June 13, 2012

Kalau hidup jangan bongkak.

Assalamualaikum w.b.t.

Anak-anak muridku,
Kalau disuruh oleh gurumu, buatlah dengan ikhlas walaupun disuruh berbaris dan berjemur di tengah panas kerana gurumu juga turut berpanas.
Murid-muridku,
Janganlah takut kulitmu gelap kerana kulit gurumu juga sudah gelap kerana saban tahun berjemur di padang, mendidik kakak-kakakmu mematuhi pemimpin dan memimpin.
Murid-muridku,
Janganlah bongkak kononnya kamu hebat kerana ada yang lebih hebat daripada kamu dan ada yang lebih bongkak daripada kamu.

Tuesday, June 12, 2012

Nilai Kasih Sayang dalam Novel Kabus di Perbukitan

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.
Semoga nota ringkas ini membantu murid-murid.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya yang sudah lama terpisah.
Bukti : Salmah sangat merindui anaknya, Rahayu yang sudah lama terpisah kerana mengikut suaminya, Kamarudin. Salmah menjaga Rahayu yang sakit di rumahnya sebelum Rahayu meninggal dunia.

Kasih sayang seorang anak terhadap ibunya.
Bukti : Faridah sanggup berjauhan dengan suaminya Ghazali untuk menemani ibunya yang tinggal berseorangan setelah kematian Rahayu.

Kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.
Bukti : Kamarudin berusaha mencari anaknya, Faridah yang hilang di dalam hutan Bukit Fraser walaupun tempat tersebut agak berbahaya kerana terdapat saki baki aktiviti pengganas komunis di situ.

Kasih sayang seorang sahabat terhadap sahabat karib yang sedang sakit.
Bukti : Azrul selalu menziarahi Rahayu yang terlantar sakit di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pekan kecil Bukit Fraser, Pahang.





Monday, June 11, 2012

Nilai Kasih Sayang dalam Novel Melunas Rindu.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Berikut ialah nilai kasih sayang dan bukti yang terdapat dalam novel Melunas Rindu. Semoga pos kali ini dapat membantu calon-calon SPM 2012.

Kasih sayang anak angkat kepada ibu bapa angkat.
Bukti : Fuad membeli sebidang tanah untuk Pak Ismail dan Mak Salmah. Selain itu, Fuad turut membelikan sebuah motosikal untuk memudahkan Pak Ismail ke kedai.

Kasih sayang seorang anak kepada ibu kandungnya.
Bukti : Fuad sentiasa merindui ibu kandungnya yang tidak pernah dilihatnya dan Fuad juga berusaha mencari kubur ibu kandungnya.

Kasih sayang seorang sahabat.
Bukti : Fuad sanggup membantu menjaga ibu Farhana yang sedang sakit di hospital.

Kasih sayang seorang guru terhadap anak murid.
Bukti : Fuad mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid-murid SM Seri Setia yang lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris.




Contoh Karangan Peperiksaan Setengah Tahun Tingkatan 5 2012 Negeri Johor.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. 
Berikut ialah contoh karangan peperiksaan setengah tahun negeri Johor 2012 yang ingin kami kongsi bersama-sama dengan para pembaca. Para pembaca diizinkan untuk menyalin kembali karangan ini dan digunakan untuk tujuan pemelajaran di dalam kelas atau untuk mengulang kaji bagi menghadapi SPM/PMR (pun boleh juga kalau tajuk ini keluar).  Inilah sedekah kami. Karangan contoh ini ada kelemahan. Oleh itu, komen yang membina sangat dialu-alukan. Sekian, terima kasih.

Bahagian A : Karangan Berpandu

Soalan : Huraikan pendapat anda tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

          Dewasa ini, masyarakat di Malaysia semakin sibuk mengejar arus pembangunan yang semakin rancak dari semasa ke semasa. Kesibukan yang semakin menghambat diri masyarakat telah menyebabkan mereka kekurangan masa untuk menjalankan aktiviti rekreasi. Situasi ini telah memberi impak yang amat besar khasnya kepada kesihatan masyarakat. Majoriti masyarakat di Malaysia mengalami masalah obesiti dan tekanan darah tinggi kerana kurangnya aktiviti rekreasi. Oleh itu, segala persoalan yang berkaitan dengan kepentingan rekreasi kepada masyarakat akan dikaji dengan teliti sehingga ke akar umbi.
          Sebagai pembuka tirai perbincangan, kepentingan utama rekreasi kepada masyarakat yang dapat dikenal pasti ialah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana masyarakat dapat beramah mesra dan bercampur gaul ketika melakukan aktiviti rekreasi. Perkara ini dapat direalisasikan dengan meluangkan masa bersama-sama keluarga melakukan aktiviti rekreasi pada hujung minggu atau cuti umum. Sebagai contohnya, ahli keluarga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah bersama-sama keluarga di Taman Merdeka, Johor Bahru atau bersantai bersama-sama keluarga di Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor. Aktivit ini dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam keluarga bak kata peribahasa “air dicincang tidak akan putus”. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa amalan rekreasi dalam kalangan masyarakat dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.
          Selain itu, antara kepentingan rekreasi kepada masyarakat termasuklah melapangkan fikiran masyarakat. Hal ini sangat penting kerana otak dan tubuh manusia dapat berehat sebentar daripada memikirkan tekanan di tempat kerja atau di sekolah dengan menjalani aktiviti rekreasi. Situasi ini dapat diwujudkan dengan mencari kawasan peranginan seperti di tempat pantai dan tanah tinggi untuk berehat sambil membaca buku. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama bagi menyokong pernyataan ini ialah masyarakat boleh memilih kawasan peranginan tanah tinggi yang nyaman di Cameron Highlands atau menghirup udara yang segar di Pantai Air Papan, Mersing. Aktiviti ini bertetapatan dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat yang sihat dan cerdas. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa aktiviti rekreasi dapat melapangkan fikiran masyarakat.
          Di samping itu, lontara idea yang ketiga tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah bertukar-tukar pendapat untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan. Hal ini perlu diberi perhatian mendalam kerana setiap perkongsian idea akan berjalan lancar ketika masyarakat berekreasi khasnya di taman-taman bunga atau taman rekreasi. Aspirasi murni ini dapat dizahirkan dengan mengadakan perjumpaan atau perbincangan berkumpulan di taman-taman rekreasi. Sebagai contohnya, penduduk setempat boleh menggunakan taman rekreasi yang berhampiran seperti Hutan Bandar Johor Bahru untuk berkumpul dan membincangkan masalah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal mereka. Para pelajar juga boleh menggunakan gazebo yang terdapat di sekitar Taman Bunga Istana Johor untuk mengadakan sesi belajar secara berkumpulan. Melalui wacana ini, jelaslah bahawa kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah dapat bertukar-tukar pendapat.

          Seterusnya, perbincangan yang keempat tentang kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah menyihatkan tubuh. Hujah ini perlu dipandang serius kerana toksin yang berbahaya untuk badan dapat dibuang melalui peluh ketika masyarakat menjalankan aktiviti rekreasi. Setiap perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan bersenam pada setiap hujung minggu untuk memastikan badan sentiasa sihat dan cerdas. Contoh yang dapat dibuktikan bagi merungkai segala persoalan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa menggalakkan masyarakat supaya berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah di kawasan rekreasi yang disediakan kerana aktiviti itu boleh membakar kalori dan menyingkirkan toksin. Berdasarkan hal ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti rekreasi dapat meniyhatkan badan masyarakat.
          Sebagai penutup bicara, kepentingan rekreasi memberi banyak kemaslahatan kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Namun, manfaat ini tidak akan dapat dikecapi oleh setiap lapisan masyarakat jika mereka sentiasa alpa dengan kesibukan mengejar kemewahan dunia. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat di bawah payung Satu Malaysia hendaklah menjalankan aktiviti rekreasi demi melahirkan modal insan yang sihat.






Bahagian B

1)    Masa depan negara memerlukan generasi muda yang berilmu pengetahuan agar pembangunan dan kemajuan dapat dikecapi.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menjadi remaja yang berilmu.
           
          Dunia semakin berubah dan pesat membangun hari demi hari. Hal ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya bekalan ilmu pengetahuan dalam diri setiap remaja agar tidak ketinggalan dalam arus modenisasi. Nabi Muhammad s.a.w. juga turut berpesan kepada umat akhir zaman supaya menuntut ilmu hingga ke negeri China kerana proses pemelajaran itu sebenarnya bermula dari alam buaian hinggalah ke liang lahad. Hal ini membuktikan bahawa ilmu pengetahuan sangat penting bagi membentuk insan yang kamil. Bagaimanakah untuk menjadi remaja berilmu? Oleh itu, segala persoalan tentang cara-cara untuk menjadi remaja berilmu akan dikaji dengan teliti hingga ke akar umbi.
          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, cara utama yang dapat dikenal pasti untuk menjadi remaja berilmu ialah setiap remaja perlu mengunjungi perpustakaan awam atau sekolah pada masa lapang. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana remaja dapat menimba ilmu pengetahuan daripada hamparan ilmu yang terhidang luas di dalam buku yang terdapat di perpustakaan. Perkara ini perlu direalisasikan dengan sentiasa menggunakan khidmat pinjaman buku yang disediakan untuk membaca buku cerita atau merujuk buku rujukan untuk menjawab latihan yang diberikan oleh guru. Sebagai contohnya, remaja boleh menggunakan kemudahan yang kondusif di Perpustakaan Awam Sultan Ismail, Johor Bahru atau mencari maklumat yang dikehendaki di Perpustakaan Negara Malaysia yang menghimpunkan lautan ilmu yang dalam tidak terduga. Melalui prakarsa ini, jelaslah bahawa usaha untuk menjadi remaja berilmu ialah mengunjungi perpustakaan pada waktu lapang.
          Selain itu, hujah seterusnya tentang cara-cara untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus ketika sesi pengajaran dan pemelajaran di sekolah. Hal ini sangat penting kerana setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru akan mudah disimpan di dalam minda tanpa gangguan dan guru juga dapat mengajarkan isi pengajaran dengan lancar. Situasi ini dapat diwujudkan dengan tidak berbual-bual ketika guru sedang mengajar dan tidak berkhayal ketika sesi pengajaran dan pemelajaran berlangsung di dalam kelas seterusnya menyebabkan guru-guru yang mendidik remaja akan berasa senang hati. Setiap remaja hendaklah menghargai detik masa sepanjang proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung kerana masa itu ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya maka mata pedang itulah yang akan memotong diri kita sendiri. Berdasarkan hujah ini, jelaslah bahawa cara-cara untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus ketika menuntut ilmu di dalam kelas.
          Di samping itu, antara cara menjadi remaja berilmu termasuklah melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum yang terdapat di sekolah dapat memberikan ilmu tambahan yang sangat berguna kepada remaja dan ilmu tersebut tidak akan didapati ketika belajar di dalam kelas. Aspirasi murni untuk menjadi remaja berilmu ini dapat dizahirkan dengan tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti kokurikulum seperti kawad kaki, berkhemah atau mempelajari seni bela diri. Sebagai contohnya, remaja boleh menyertai pasukan Kadet Polis atau Kadet Remaja Sekolah yang mampu membentuk jati diri, semangat kepimpinan, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk dan menyemai sifat berdikari dalam diri remaja. Melalui perkara ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti kokurikulum di sekolah dapat mewujudkan remaja yang berilmu.

          Seterusnya, setiap remaja di Malaysia juga hendaklah mempunyai wawasan dalam hidup jika ingin merealisasikan hasrat untuk menjadi remaja berilmu. Hujah ini perlu dipandang serius kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka dan wawasan hidup mampu mengajar remaja erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya bak kata peribahasa ”yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Conoh yang dapat menjawab segala persoalan ini ialah kebanyakan remaja yang mempunyai wawasan akan lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa memiliki wawasan dalam hidup merupakan usaha yang penting untuk mewujudkan remaja berilmu.
          Sebagai kesimpulannya,setiap perkara yang berkaitan dengan usaha-usaha untuk mewujudkan remaja berilmu telah dikupas dengan mendalam. Namun, usaha ini tidak akan dapat berjaya jika setiap remaja sentiasa lalai dengan budaya hedonism yang melanda dunia. Oleh itu, setiap remaja di bawah payung Satu Malaysia hendaklah bertindak segera kerana ilmu ialah kunci kejayaan dalam kehidupan.

2)   Kehendak soalan : Peranan pelbagai pihak untuk menghargai warga tua.

          Warga tua merujuk ibu, bapa,datuk atau nenek,bapa saudara atau ibu saudara yang sudah berumur. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Berdasarkan situasi ini, apakah langkah pragmatik yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka? Adakah usaha tersebut mampu membibitkan rasa dihargai dalam diri warga tua? Oleh itu, setiap persoalan yang berkaitan dengan peranan pelbagai pihak akan dikaji dengan teliti sehingga ke akar umbi.
          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, langkah efektif yang dapat mewujudkan penghargaan kepada warga tua ialah setiap ahli keluarga perlu menyayangi warga tua dengan sepenuh hati. Setiap ahli keluarga perlu menyayangi warga emas ini dengan perasaan cinta yang tidak berbelah bahagi kerana warga tua merupakan insan yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak dari kecil hingga dewasa manakala bapa pula membanting tulang empat kerat memerah keringat mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Situasi ini dapat diwujudkan dengan sentiasa mengingati pengorbanan ibu bapa dan membalas jasa mereka dengan sebaik-baiknya seperti menyediakan tempat tinggal yang sempurna, menjaga mereka yang sudah tua atau uzur atau sentiasa menjenguk mereka yang tinggal di kampung dan jangan terlintas langsung di dalam fikiran untuk menghantar mereka ke rumah warga tua. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa usaha yang utama untuk menghargai warga tua ialah menyayangi warga tua dengan sepenuh hati.
          Selain itu, hujah seterusnya tentang peranan pelbagai pihak untuk menghargai warga tua ialah guru boleh mendidik pelajar agar menghormati warga tua. Peranan guru sangat penting untuk memupuk nilai menghargai warga tua dalam diri masyarakat khasnya murid-murid sekolah kerana warga tua  yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Situasi ini dapat diwujudkan dengan menerapkan cara bertutur dengan sopan apabila berbicara dengan warga emas seperti tidak meninggikan suara atau menggunakan bahasa kesat kerana perbuatan sedemikian boleh mencalarkan hati warga yang berjasa ini. Contoh yang dapat dikongsi bersama-sama bagi menyokong hujah ini ialah amalan menghormati warga tua ada diterapkan oleh guru melalui subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang diajarkan di sekolah-sekolah bagi mewujudkan modal insan yang tahu menghargai warga tua. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa peranan guru sangat penting dalam usaha menghargai warga tua.
            Di samping itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang sangat penting untuk mewujudkan penghargaan terhadap warga tua. Hal ini perlu diberi perhatian mendalam kerana warga emas merupakan warga yang banyak berjasa dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi dan kestabilan poilitik negara. Aspirasi murni ini dapat dizahirkan apabila pihak kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua yang ada di Malaysia. Sebagai tamsilnya, perkara ini boleh dilihat melalui program transformasi negara yang memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (B1RM) kepada warga tua bertujuan untuk meringankan beban sara hidup mereka serta memudahkan mereka untuk memiliki kehidupan yang lebih baik. Melalui prakarsa yang dibincangkan dalam wacana ini, nyatalah bahawa usaha pihak kerajaan akan membuatkan warga tua lebih disayangi dan dihormati.
          Seterusnya, perbincangan yang keempat tentang peranan pelbagai pihak untuk menghargai jasa warga tua ialah media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan pengorbanan warga tua. Hujah ini perlu dipandang serius kerana dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya warga tua dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan menyiarkan sumbangan warga tua dalam memajukan negara atau menyelamatkan negara melalui dokumentari televisyen. Contoh yang dapat dibuktikan bagai merungkai segala persoalan ialah usaha saluran History yang disediakan oleh stesen televisyen berbayar Astro yang menyiarkan pengorbanan pihak polis mempertahankan balai bolis dalam tragedi Bukit Kepong wajar dipuji kerana usaha itu dapat menghargai sumbangan warga tua yang telah berkorban nyawa ketika mereka masih bertenaga suatu ketika dahulu. Berdasarkan mauduk yang dihuraikan ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa langkah media massa menyiarkan kisah pengorbanan warga tua sangat penting untuk menyemai penghargaan kepada warga tua.
          Akhir kalam, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana pada suatu hari nanti, kita juga pasti akan melalui zaman emas tersebut dan itulah hakikat kitaran alam.
3)   Kehendak soalan : Kepentingan amalan hidup berjiran.

          Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun, ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
          Sebenarnya, semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
          Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Berdasarkan situasi ini, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
          Di samping itu, antara kepentingan semangat kejiranan termasuklah memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Hal ini demikian kerana slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan bahawa apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
          Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan oleh kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya, pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Berdasarkan hal ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
          Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Namun, setiap manfaat daripada amalan murni ini tidak akan dapat dikecapi jika setiap lapisan masyarakat masih lagi tebal dengan sikap mementingkan diri sendiri. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat di bawah payung Satu Malaysia hendaklah mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan.