Sunday, June 3, 2012

Pandangan Sepuluh Sen tentang Filem Kita.





      


INDUSTRI filem kita semakin rancak dan berani. Perkara ini menunjukkan bahawa penggiat filem kita semakin kreatif, berilmu dalam bidangnya, berani dan berinovasi. Pelakon yang hidup juga menghidupkan lagi sesebuah filem. Namun, adakah kita sedar bahawa keberanian dan kekreatifan itu memberi manfaat untuk masyarakat? Alasan atas dasar kreativiti dan seni tidak wajar diambil kira kerana setiap pembikin filem haruslah mengambil pusing tentang nilai-nilai murni yang perlu ditunjukkan kepada khalayak penonton. Pembikin filem harus peka bahawa saluran filem anda sebenarnya boleh menjadi pemangkin terhadap pembangunan modal insan negara sama ada berkualiti atau sebaliknya. Nilai-nilai murni tidak semestinya ditunjukkan dengan adegan-adegan tidak baik pada awal filem dan diakhiri dengan keinsafan terhadap adegan-adegan tidak baik itu. Nilai-nilai murni haruslah ditunjukkan dengan adegan-adegan yang baik. Tidak perlulah pembikin filem menunjukkan adegan-adegan intim kerana itu bukanlah pakej utama untuk menjadikan sesebuah filem itu filem yang berjaya.
       Di samping itu, penggiat filem kita juga perlu menjalankan kajian terperinci sebelum karya itu dilahirkan. Hal ini sangat penting jika filem itu mempunyai latar masyarakat yang memaparkan sesuatu profesion contohnya guru, peguam, hakim atau polis. Etika tentang sesuatu profesion itu perlu dipelajari dan dikaji kerana jika pembikin filem menayangkan perkara yang bertentangan dengan etika sesuatu profesion itu, secara tidak langsung akan mencemarkan nama baik profesion tersebut dan akan lebih buruk lagi jika perkara itu diannggap benar oleh khlayak penonton. Sebagai contohnya, pembikin filem perlu mengkaji bolehkah seorang guru lelaki memegang pelajar perempuan dan pembikin filem juga perlu mengetahui apakah pakaian yang dipakai oleh hakim di dalam filemnya itu sesuai atau tidak? Hal itu mungkin dianggap remeh tetapi hal itu sebenarnya menggambarkan sesuatu profesion di Malaysia. Karya yang baik perlulah melalui banyak kajian sebelum diterjemahkan.
       Akhir bicara, semoga filem di Malaysia akan lebih maju dan sarat dengan nilai-nilai murni untuk pembangunan modal insan yang berkualiti. Pilihlah apa yang baik dan tinggalkanlah apa yang tidak baik.

No comments:

Post a Comment