Sunday, June 3, 2012

Karangan mudah. (Tema berjimat cermat)


           

           Boros bermakna suka mengeluarkan sesuatu seperti wang secara berlebih-lebihan manakala jimat cermat pula bermaksud sangat berhati-hati dalam membelanjakan wang.  Perkara ini berkaitan dengan pepatah Melayu yang menyatakan ”ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”.  Hal ini membuktikan bahawa sikap berjimat cermat merupakan amalan yang mulia  dan memberi banyak manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

            Faedah berjimat cermat yang pertama ialah dapat menjamin masa depan yang lebih baik.  Seseorang yang ada wang simpanan tidak perlu lagi membanting tulang apabila sudah bergelar warga emas.  Mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk meneruskan kehidupan tanpa meminta bantuan daripada sesiapa walaupun kepada anak-anak sendiri kerana anak-anak mempunyai tanggungjawab mereka sendiri.  Melalui perkara ini, jelaslah bahawa orang yang berjimat cermat lebih selesa hidupnya berbanding dengan orang yang boros.

            Selain itu, antara faedah amalan berjimat cermat termasuklah membantu para pelajar untuk melanjutkan pelajaran pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana yuran pengajian semakin mahal. Oleh yang demikian, ibu bapa yang bijak merancang akan mula membuat simpanan untuk anak-anak sejak awal-awal lagi bak kata peribahasa "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Berdasarkan perkara yang dibincangkan ini, jelaslah bahawa sikap berjimat cermat akan dapat membantu kita melanjutkan pelajaran ke menara gading.

            Di samping itu, manfaat amalan berjimat cermat yang ketiga ialah membantu kita pada masa kecemasan.  Jika kita tiba-tiba diserang penyakit kronik seperti strok, sakit jantung dan sebagainya, kita memerlukan rawatan segera.  Kos pembiayaan rawatan untuk penyakit-penyakit seperti ini boleh mencecah puluhan ribu ringgit.  Kita banyak melihat pesakit yang menunggu sekian lama untuk menerima rawatan hanya kerana tidak cukup wang.  Oleh hal yang demikian, mereka yang mempunyai simpanan tidak akan menghadapi sebarang halangan untuk menbiayai kos rawatan.

            Sebagai kesimpulannya, dapatlah dibuktikan bahawa sikap jimat cermat banyak memberikan faedah.  Oleh hal yang demikian, kita hendaklah sediakan payung sebelum hujan agar perkara kecemasa yang tidak diduga dapat dihadapi dengan tabah.  Oleh itu, marilah kita mengamalkan amalan mulia ini kerana amalan ini memberi banyak manfaat.

No comments:

Post a Comment