Sunday, June 3, 2012

Contoh karangan mudah (Tema kejiranan)

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Pada pagi yang indah ini, kami ingin berkongsi dengan para pembaca budiman karangan contoh yang mudah dibaca oleh calon-calon SPM yang masih sukar menulis dengan baik. Jika anda sukar menulis karangan peringkat cemerlang, cubalah dahulu dengan karangan yang ditulis dalam bahasa yang mudah ini. Tidak salah jika kita kayuh perlahan-lahan untuk menuju ke puncak. Sebarang komen membina sangatlah dialu-alukan. Hayatilah.


Soalan :
Masyarakat Malayisa khususnya yang tinggal di bandar-bandar besar semakin mengabaikan semangat kejiranan yang telah diamalkan sejak turun-temurun dan tidak mengetahui bahawa semangat ini memberi banyak faedah.

Huraikan pendapat anda tentang faedah mengamalkan semangat kejiranan.

Rangka karangan :
  • memupuk semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
  • mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.
  • menjamin keselamatan dan mengekalkan keharmonian tempat tinggal.

          Dewasa ini, semangat kejiranan semakin diabaikan oleh masyarakat yang tinggal di bandar-bandar besar. Masyarakat semakin sibuk dengan tugas setiap hari. Oleh itu, masyarakat perlu mengamalkan semangat kejiranan kerana semangat kejiranan memberi banyak faedah kepada masyarakat.
          Faedah pertama ialah memupuk semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Semangat kejiranan dapat memupuk semangat bersatu-padu kerana semua jiran yang berbangsa Melayu, Cina dan India melakukan semua kerja dengan bergotong-royong. Masyarakat boleh menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal seperti di taman-taman perumahan atau kawasan kampung bak kata peribahasa "bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat". Oleh itu, jelaslah bahawa faedah semangat kejiranan ialah memupuk semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
          Selain itu, faedah kedua ialah menjamin keselamatan tempat tinggal. Semangat kejiranan dapat menjamin keselamatan tempat tinggal kerana setiap masyarakat selalu mengambil berat terhadap keadaan sekeliling mereka. Jiran tetangga dapat melakukan rondaan pada setiap malam dan aktiviti ini akan menakutkan pencuri untuk mencuri. Kes pecah rumah juga dapat dielakkan dan dikurangkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, jelaslah bahawa faedah semangat kejiranan dapat menjamin keselamatan tempat tinggal.
          Di samping itu, faedah yang ketiga termasuklah mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa. Semangat kejiranan dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa kerana setiap jiran tetangga saling bekerjasama memastikan kebersihan alam sekitar di tempat tinggal mereka. Ativiti gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal pada cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah dapat menjamin kebersihan alam sekitar dan mencegah penyakit berjangkit seperti demam denggi dan malaria. Oleh itu, jelaslah bahawa faedah semangat kejiranan dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.
          Sebagai kesimpulannya, masyarakat akan mendapat banyak faedah jika mengamalkan semangat kejiranan. Oleh itu, mereka perlulah bekerjasama supaya semangat kejiranan semakin diamalkan dan tidak dilupakan oleh setiap masyarakat.


Contoh karangan mudah. ( Dimensi diri)


Soalan:
Menjadi pelajar cemerlang merupakan impian setiap pelajar supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan menjamin masa hadapan yang cerah.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menjadi pelajar cemerlang.
Rangka karangan :
-   mendengar nasihat ibu bapa dan guru.
-   Menyertai aktiviti kokurikulum.
-   Belajar bersungguh-sungguh.
Setiap pelajar di Malaysia mahu menjadi pelajar cemerlang. Setiap pelajar mahu menjadi pelajar cemerlang kerana masa hadapan mereka akan lebih cerah dan mudah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Oleh itu, setiap pelajar hendaklah berusaha mencapai cita-cita untuk menjadi pelajar cemerlang.
Pada pendapat saya, ada banyak cara untuk menjadi pelajar cemerlang. Para pelajar perlu mendengat nasihat ibu bapa dan guru. Para pelajar perlu mendengar nasihat ibu bapa dan guru kerana mereka banyak berjasa kepada para pelajar. Ibu bapa dan guru selalu membimbing kita ke arah kebaikan dan banyak memberi ilmu pengetahuan. Ibu bapa juga sering mendidik kita dari kecil hingga dewasa. Melalui usaha ini, setiap pelajar dapat menjadi pelajar cemerlang pada masa hadapan.
Selain itu, para pelajar perlu menyertai aktiviti kokurikulum untuk menjadi pelajar cemerlang. Aktiviti kokurikulum memberi banyak faedah kepada para pelajar kerana aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan tubuh badan. Aktviti kokurikulum juga dapat membentuk disiplin dan memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar. Tambahan pula, markah kokurikulum pula penting untuk kita melanjutkan pelajaran. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum sangat penting untuk para pelajar.
Di samping itu, para pelajar juga perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang. Setiap pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh kerana para pelajar dapat menjawab soalan-soalan semasa dalam peperiksaan. Para pelajar janganlah membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti ponteng sekolah atau menghabiskan masa dengan melayari internet. Para pelajar perlu menumpukan perhatian semasa cikgu mengajar dan sentiasa mengulang kaji pelajaran. Melalui perkara ini, usaha pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh pasti akan berhasil.
Akhir kalam, setiap pelajar perlulah berusaha untuk berjaya dalam akademik. Oleh itu, semua pelajar haruslah berusaha gigih supaya dapat menjadi pelajar cemerlang pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment